Setelah  pemeriksaan selesai, aku dan isteriku pulang ke wad dan aku terkejut  melihatkan satu bungkusan hadiah berada di atas katil isteriku. Setelah  aku amati ternyata hadiah itu datangnya daripada rakan-rakanku  sepejabat. Aku pada mulanya tertanya-tanya kenapa mereka tidak menunggu  kami tetapi kemudiannya menganggap bahawa mereka mungkin kesuntukan  masa. Lagipun kami lama berada di makmal, jadi tentulah mereka ada hal  lain yang perlu diuruskan. Jadinya aku tidaklah terlampau memikirkan  mengenai perkara tersebut.
 
  Setelah  isteriku keluar daripada hospital aku ke pejabat seperti biasa. Apabila  aku bertemu teman-teman, aku mengucapkan terima kasih di atas kesudian  mereka melawat aku dan isteriku di hospital disamping meminta maaf  kerana aku tidak dapat bertemu mereka ketika lawatan mereka. Mereka  terkejut kerana mereka sememangnya ada bertemu aku di sana. Malah mereka  berkeras menyatakan bahawa mereka sempat berbual-bual panjang dengan  aku tentang keadaan isteriku. Aku pula yang merasa pening dengan dakwaan  mereka itu kerana mereka bersungguh-sungguh benar menegaskan bahawa  akulah yang berada di situ. Tambahan lagi seorang kawan aku berkeras  menegaskan bahawa dia pasti akan sedar sekiranya orang lain yang mereka  temui kerana mereka bukan baru ini kenal diri aku.
 
  Pada  mulanya aku menganggap mereka bergurau tetapi mereka bersungguh-  sungguh meyakinkan aku bahawa mereka ada bertemu dan berbual-bual dengan  aku di sana. Setelah beberapa orang berkata sedemikian, aku mempercayai  kata-kata mereka tetapi aku tetap menafikan ada bertemu dan  berbual-bual dengan mereka kerana ketika itu aku sememangnya berada di  makmal dengan isteriku. Kawan-kawanku pula pada mulanya menyangka aku  cuba mempermain- mainkan mereka sehinggalah aku terpaksa menafikan  berkali-kali pula bahawa aku ada berbual dengan mereka ketika itu.  Peristiwa tersebut menimbulkan kesedikit keributan di pejabat apabila  masing-masing mengemukakan pendapat masing-masing sehingga akhirnya  perkara itu tergantung begitu sahaja.
 
  Ada  di antara mereka yang mengatakan bahawa aku cuba memperolok-olokkan  mereka dan ada juga yang mempercayai cerita aku. Pendapat aku sendiri???  Ah... entahlah. Aku pun tidak tahu apa yang hendak aku katakan. Cuma  aku berasa bersyukur bahawa aku cuma mengetahui mengenai perkara  tersebut selepas aku keluar daripada wad itu. Juga bahawa isteri aku  tidak tahu apa-apa mengenai perkara tersebut.
 
  Sehingga  kini yang menjadi kemuskilan kepada aku adalah sekiranya aku berada di  makmal bersama isteri aku, siapa pula yang berbual-bual dengan  rakan-rakan sepejabat aku. Dan sekiranya ada orang lain yang cuba  menyamar, tentu rakan- rakan aku akan mengenali bahawa bukan aku yang  berbual-bual dengan mereka. Dan sekiranya bukan orang yang menyamar  sebagai aku, makluk apa pula yang berbual-bual dengan rakan-rakanku dan  apa pula matlamatnya? Apakah yang dikehendaki daripada diri aku ini?
 
  Tambahan  pula semenjak kejadian itu, aku selalu pula merasakan seperti diekori  oleh sesuatu. Seram bulu roma aku setiap kali mengingati perkara  tersebut. Aku tidak pernah menceritakan perasaan aku kepada isteriku dan  aku tidak tahu apakah itu hanya mainan minda dan hanyalah merupakan  perasaan aku semata- mata? Mungkinkan aku terlalu letih kerana melayan  isteri aku ketika dia di wad dahulu, atau mungkin .... Ahh!!! pedulikan  sahaja. Asalkan isteri aku selamat tidak ada apa yang aku perlu  bimbangkan.